...Sesekali menangis, percayalah . bukan Allah tidak tahu betapa hancur dan luluhnya hati kita menanggung kecewa dan keperitan, tetapi Dia mahu kita rapat padaNya, lantaran hati-hati sebeginilah yang lebih lunak untuk diujinya ~ Jangan Bersedih,Allah Bersama Kita :') "Dear Allah...Make me strong, please (T__T)"

Wednesday 28 December 2011

WANITA DALAM PERJUANGAN ISLAM, USAH DINAFIKAN!



Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan. Perjuangan Islam menuntut bukan setakat masa, tetapi jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan kedudukan malah adakalanya menghambat nyawa. 

Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat:15 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya)” 

Itulah semangat yang ditunjukkan oleh umat-umat Islam terdahulu dan segelintir pejuang-pejuang Islam sekarang tanpa mengira lelaki ataupun perempuan. Malah orang yang mula-mula syahid dalam mempertahankan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w adalah seorang wanita, Sumaiyah dari keluarga Yasir.


Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan sekali pun. Insan-insan dari jenis inilah yang perlu ada di kalangan pejuang-pejuang Islam kini, termasuk wanita. Peranan wanita adalah amat penting dan besar sekali dalam perjuangan Islam kerana mereka merupakan pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu generasi pembela Islam yang amat diperlukan.Sifat fizikal wanita yang lebih lemah daripada kaum lelaki terbukti bukanlah satu alasan untuk tidak terbabit dalam memperjuangkan Islam. Tetapi tanggungjawab menegakkan Islam turut terpikul di bahu mereka, mengikut kemampuan serta batasan yang ditentukan Allah s.w.t. 

Bila memperkatakan wanita dalam perjuangan Islam, maka biasanya kita tidak dapat lari dari peranan yang mereka mainkan dalam membentuk keluarga muslim. Dari unit keluargalah tanggungjawab mereka bermula. Mendidik anak-anak memahami erti Islam sebenar, menyemai benih iman sejak kecil, mencorakkan akhlak mulia, selanjutnya menanamkan semangat memperjuangkan dan mempertahankan Islam dalam diri mereka.

Tugas ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tugas umum wanita, iaitu mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga. Tetapi wajar dititik beratkan sebagai tanggungjawab muslimah dan sumbangan atau jihad mereka dalam Islam. Bila tugas-tugas ini dikaitkan dengan jihad Islam, maka sewajarnya ia dijalankan dengan penuh kerelaan dan dipikul sebaik-baiknya.

Urusan mewujudkan rumahtangga muslim dan mendidik generasi Islam yang beriman, berakhlak mulia serta bersemangat jihad merupakan tugas utama wanita. Bagaimanapun tidak bermakna mereka tidak boleh memperjuangkan Islam dengan cara lain bila keadaan memerlukan.

Pada zaman Rasulullah s.a.w para muslimat bukan hanya berfungsi sebagai penghias rumah atau melahirkan zuriat semata-mata. Tetapi mereka berperanan membantu kaum lelaki dalam jihad menegakkan Islam, meniup semangat kepada mereka dengan meredhai perjuangan suami malah bila diperlukan mereka bersama-sama kaum lelaki dalam pertempuran.


Begitulah semangat perjuangan yang mereka tunjukkan, mereka pertahankan agama Allah dengan nyawa dan bukan sekadar seorang suami, bapa, anak-anak atau saudara sedarah sedaging. Sekiranya sekarang kita dapat mewujudkan muslimah-muslimah sebegini, Insya-Allah satu generasi pejuang Islam yang tidak gentar menghadapi musuh dapat dibentuk.

Peranan wanita dalam memperjuangkan Islam tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada soal rumahtangga semata-mata. Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka yang masih belum bersuami, tidak mempunyai anak atau anak-anaknya sudah dewasa dan tidak memerlukan banyak penjagaan lagi?

Tenaga mereka amat diperlukan dalam perjuangan Islam. Mereka boleh bergiat dalam masyarakat, menjalankan dakwah; memberi kesedaran dan ilmu Islam kepada masyarakat sejenisnya yang masih belum mengenali Islam. Perkara ini amat perlu ditekankan kerana terdapat kecenderungan di kalangan ahli jamaah yang meluangkan waktu untuk mempengaruhi ahli jamaah Islam lain untuk menyertai jamaahnya. Tindakan seumpama ini tidak langsung menguntungkan Islam, kerana dakwah Islam perlu sampai kepada semua peringkat masyarakat, terutama mereka yang masih belum memahami apakah Islam sebenar.

Wanita perlu didedahkan dengan masalah sebenar masyarakat Islam dalam menghadapi musuh. Mereka perlu menyedari bahawa wanita mempunyai kuasa dan tenaga tersendiri untuk memperjuangkan dan melaksanakan Islam dalam berbagai bidang, termasuk dalam menegakkan Daulah Islamiyyah.

No comments:

Post a Comment