Jika sudah taubat Nasuha (bersungguh-sungguh insaf tiada lagi siaran ulangan dosa), maka tiada lagi label barangan terpakai atau buangan. Bahkan kamu adalah bidadara dan bidadari dunia akhirat kembali. Suci seperti bayi. Macam baru keluar dari kilang. Fresh. Tanpa dosa dan noda.
Saya melihat ke dalam diri sendiri. Belum kepada orang lain. Terasa rendah diri. Terasa hina. Dosa sudah tentu banyak sekali. Makin bertambah umur, dosa pun bertambah jua. Manusia dengan dosa adalah manusia yang kotor. Dengan kata mudah, diri ini bukan orang suci. Terpalit noda. Tersalut kaca dosa.
Beruntunglah orang-orang yang terjaga sedari kecil hingga dewasa. Rare. Tapi saya percaya memang ada di luar sana. Mantap ayahanda bondanya mendidik. Mungkin mantap penjagaan dirinya sendiri. Terjaga tanpa tiada peristiwa silam yang melibatkan dosa sebesar dunia.
Namun kita, orang-orang biasa. Tidak setinggi iman mereka. Yang pernah hanyut dengan bermacam dugaan dan kesalahan diri sendiri. Kekadang kita jadi begitu kerana persekitaran. Kekadang kita jadi begitu kerana diri yang memberontak inginkan keseronokan masa muda dan kebebasan. Kekadang kita dianiayai orang. Kekadang kita yang menzalimi diri atas dasar turutkan perasaan.
Pengalaman.
Apapun yang pernah terjadi, kita memang pernah berdosa. Atau masih sedang membuat dosa. Sengaja membiarkannya saja. Tanpa mahu beranjak dari tempat kotor yang sama.
Kesiannya diri kita yang sebenar. Menjerit di dalam.
Diri yang palsu di luar berjaya saiko kita habis-habisan.
"Buatlah dosa, buatlah noda. Muda. Gila-gila. Nikmati dunia."
***
Pernah ada masa lalu yang gelap? Atau masa kini yang suram?
Kalau namanya remaja, masalah pertama sekali adalah cinta. Ah, cinta lagi. Isu cinta lagi.
"Asyik-asyik cinta! Cinta bukan isu ummah tau?!"
Cinta adalah isu ummah. Remaja sedari dulu hingga kini, hanyut dengan definisi cinta sendiri. Cinta yang salah di sisi agama. Cinta asalnya fitrah. Akhirnya bertukar fitnah kerana tersalur di jalan yang salah.
Bukan setakat yang jahil terperosok di dalamnya bahkan yang belajar ilmu agama juga terheret sama. Besar kan masalah ini?
Allahurabbi!
Lihatlah betapa Maha Pengasihani Tuhan kita. Dosa kita sehitam bawah kuali pun bisa terhapus. Sudi dihapuskan. Malahan disucikan kembali oleh-Nya.
Kotormu kerana kesilapan diri sendiri.Allah jualah yang mensucikanmu kembali!
Tiada label pendosa, malahan dijanji Syurga!
Tidak gembirakah lagi dengan berita ini wahai jiwa-jiwa yang sedang berdosa?
Apa lagi yang kamu tunggu, taubat Nasuhalah bersih jiwamu!
Persetankan pada kenangan lalu. Tuju saja masa depan nun Syurga di depanmu.
Yang sudah tu sudah. Jadikan pengajaran dan pendidikan.
Agar tidak berulang.
Agar tidak songsang lagi jalan kehidupan.
Syurga dan Neraka tidak pernah memilih kita.Tetapi kitalah yang memilih mereka. - Aira Safiyya
"Jika kalian melakukan dosa sehingga dosa kalian sampai ke matahari, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah akan mengampuni kalian." (Abu Hurairah)